Titah baginda, seluruh dunia bersimpati di atas nasib yang menimpa mangsa serta keluarga terlibat dan berdoa agar kemelut ini diselesaikan sebaiknya.

Baginda bertitah, keamanan dan keselamatan merupakan perkara yang tiada tolak ansur dan semua pihak perlu sekata dalam mempertahankannya.

“Rakyat juga diingatkan agar menjauhi segala bentuk amalan yang dilakukan secara ekstrem dan radikal. Ideologi ekstrem boleh meresapi sesiapa sahaja tidak kira latar belakang agama mahupun etnik. Malaysia sendiri tidak ketinggalan dan telah mencatatkan beberapa insiden berpunca daripada sikap ekstrem terhadap agama dan etnik,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Program Hijrah Minda Bilangan ke-7 bagi 2019 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Nurul Mukminin Kg. Alor Ara di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan imam masjid itu, Zainol Yob.

Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Sementara itu, baginda mengingatkan agar rakyat sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan segala bentuk perbuatan ekstremisme dan radikalisme ini.

“Ia bukan sahaja boleh berlaku di luar negara, malah perkara ini juga boleh berlaku dalam negara kita ini jika tidak mempunyai asas pengetahuan beragama yang jelas dan tepat.

“Semua sistem dalam negara ini haruslah berfungsi agar segala perasaan tidak puas hati atau dendam akan dapat diatasi oleh pihak kerajaan yang memerintah. Manusia yang bertamadun akan hidup dalam kesederhanaan dan menolak sama sekali perbuatan dan perlakuan yang ekstrem dan radikal,” titah baginda.- UTUSAN ONLINE