Baginda bertitah, golongan tersebut perlulah mengambil kesempatan terhadap pelbagai perkembangan dan penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam sesi pembelajaran dan pengajaran yang semakin meluas digunakan.

"Penggunaan IT di dalam kelas, amat membantu para guru khususnya untuk menyalurkan ilmu dan pengalaman berkaitan persekitaran yang sukar untuk digambarkan menerusi paparan slaid dan video.

"Sebagai contohnya, situasi keadaan di dasar lautan, suasana ekstrem di kutub utara dan melihat letusan gunung berapi," titah baginda.

Demikian titah baginda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, Tambun Tulang Bagi 2018 di sini semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke sesi ke lapan bagi tahun ini itu disambut oleh pengetua sekolah, Zulkifli Jalil beserta ketua penyelaras program berkenaan, Azuan Mohd. Nasir dan Hakim Khan.

Turut hadir mengiringi baginda berdua ialah Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Setiausaha YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd. Darus dan Komandan Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (Inspeka) Brig. Jen. Dr A. Endry Nixon beserta seramai 320 orang pelajar tingkatan satu, dua dan tiga sekolah itu.

Program anjuran YTSP Perlis tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Pada majlis yang sama, baginda berdua turut berkenan menanam dua batang pokok bunga kertas dan melancarkan ‘TV Info’ sekolah tersebut sebagai simbolik kenangan lawatan. - UTUSAN ONLINE