Baginda bertitah, Smart Reader Worldwide boleh dijadikan contoh dan model terbaik untuk pemain industri berkenaan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial mereka.

“Sehingga kini, program biasiswa Smart Reader Worldwide melalui Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang bernilai RM100,000, sudah memasuki tahun ke 12 diberikan kepada kanak-kanak dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan di negeri ini,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Program Biasiswa ‘Seorang Anak Sebesar Harapan 2019’ di Auditorium Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) negeri di sini, hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengasas Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. Datuk Seri Dr. Richard Ong serta Pengarah Eksekutif, Keefe Ong.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Baginda yang juga Pengerusi YTSP Perlis seterusnya bertitah, berharap agar biasiswa itu akan dapat diteruskan dalam membantu kanak-kanak di negeri ini mendapatkan pendidikan berkualiti. - UTUSAN ONLINE