Selain harganya yang murah dan tahan lama berbanding racun disyorkan oleh Jabatan Pertanian negeri, racun itu juga berkesan dalam membunuh kesemua jenis haiwan makhluk perosak termasuk babi.

Menurut sumber Jabatan Pertanian negeri, namun tanpa disedari penggunaannya pada tanaman secara semburan itu, boleh mengakibatkan kesan kepada orang ramai yang memakan hasil pertanian mereka.

Katanya, racun tersebut begitu popular dalam kalangan pesawah dan pekebun harumanis tetapi sukar dibanteras kerana dijual secara dipek semula di kedai-kedai berdaftar mahupun sebaliknya.

“Para pekedai menjual kepada individu yang hanya mereka kenali (penduduk kampung) secara haram. Penguat kuasa pula sukar mengekang kemasukan racun ini daripada pintu masuk sempadan kerana tiada alat pengesan (scanner) khusus.

“Racun ini berbahaya, malah dikategorikan dengan logo tengkorak berwarna hitam pada labelnya. Ia bersifat sistemik iaitu apabila babi makan (racun dicampur dengan perut ayam), akan mati dan begitu juga jika haiwan lain memakan bangkai babi itu dan seterusnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan berhubung kebimbangan Jabatan Pertanian hari ini ekoran lambakan serius racun makhluk perosak tidak berdaftar di pasaran tempatan sekali gus mengancam keselamatan makanan negara.

Sumber tersebut seterusnya menasihatkan golongan petani dan pekebun supaya peka terhadap penggunaan racun makhluk perosak dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai tentang keberkesanan sesuatu produk berkenaan.

Katanya, jabatan itu memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk membanteras penggunaan racun tidak berdaftar sekali gus membantu memastikan tanaman yang dihasilkan bukan sahaja berkualiti tetapi juga selamat untuk dimakan.

“Jabatan Pertanian ada membuat pemantauan secara berkala setiap bulan mengikut hotspot kawasan-kawasan pengeluaran padi bagi mengekang penggunaan racun berbahaya ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE