Selepas merasai sendiri pengalaman berkenaan, wartawan sebuah akhbar berbahasa Cina di negeri ini itu, telah menjadikan amalan tersebut sebagai rutin yang diamalkan sejak lima tahun lalu.

Lebih istimewa, amalan tersebut dilakukan Chiew Thye yang berasal dari Pauh dekat sini, selama sebulan sepanjang Ramadan tanpa pernah walau sehari pun meninggalkannya.

Tidak cukup dengan itu, dia juga bangun awal pagi untuk bersahur.

Chiew Thye berkata, dia menganggap Ramadan cukup bermakna bagi dirinya dan sentiasa menantikan ketibaan bulan tersebut pada setiap tahun.

“Dikelilingi rakan-rakan beragama Islam membuatkan saya ingin merasai pengalaman berpuasa.

“Berpuasa bukan sahaja baik daripada segi kesihatan malah banyak membantu saya lebih berdisiplin serta bersabar dalam kehidupan,” katanya yang berkongsi pengalaman berpuasa itu dengan Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, tidak salah mencuba untuk berpuasa kerana amalan tersebut baik untuk kesihatan khususnya dalam merehatkan sistem penghadaman.

“Dalam setahun kita menikmati pelbagai jenis makanan, apa salahnya dalam sebulan kita cuba berpuasa. Saya melihat amalan ini baik dilaksanakan oleh semua orang tanpa mengira agama.

“Saya mengamalkan minum susu serta makan pisang ketika waktu bersahur dan juadah tersebut ternyata membantu saya untuk bertahan sepanjang hari.

“Apa yang istimewa lagi, sepanjang bulan ini, saya selalu ditemani oleh rakan-rakan beragama Islam lain berbuka puasa,” katanya. - UTUSAN ONLINE