Boleh dikatakan, kedua-­duanya saling melengkapi da­lam membantu menyampaikan da­­sar-dasar kerajaan kepada ma­syarakat khususnya di Perlis.

Dalam meraikan hubungan mesra yang sekian lama terjalin, Kelab Media Perlis (KEMPs) baru-baru ini mengambil inisiatif menganjurkan satu program bersama Jabatan Penerangan Perlis.

Lebih menarik, lokasi yang dipilih merupakan kawasan peranginan terkenal di negara jiran iaitu di Pulau Koh Lipe, Thailand.

Seramai 14 wakil media dike­tuai Presiden KEMPs, Sharilfuddin Saari bersama wartawan serta jurugambar daripada hampir semua agensi media di negeri ini terlibat mengikuti program selama dua hari itu yang diisi dengan pelbagai aktiviti untuk mengeratkan hubungan.

Yang turut hadir bagi meme­riahkan program tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Azahar Ismail.

Antara aktiviti menarik yang disediakan bagi mewujudkan interaksi kumpulan dengan para peserta adalah permainan dan sukaneka di tepi pantai.

Ternyata aktiviti tersebut berjaya merapatkan lagi hubungan yang selama ini sedia terjalin.

Selain itu, para peserta juga meluangkan masa melawat dan beramah mesra bersama penduduk di sekitar pulau berkenaan selain menyelami kehidupan serta budaya mereka yang rata-rata terdiri daripada nelayan dan pekerja sektor pelancongan.

Sementara itu, Sharilfuddin berkata, jalinan kerjasama antara media dan Jabatan Pe­nerangan negeri baik dan jabatan tersebut juga sentiasa menjadi pemudah cara kepada media.

“Jabatan Penerangan banyak memudahkan tugas media khususnya ketika membuat liputan dalam pilihan raya umum dan sesuatu bencana alam seperti banjir. Saya harap kerjasama erat ini akan terus terjalin.

“Di samping itu, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan yang bersama membantu menjayakan program ini. Dapat dilihat di raut wajah rakan-rakan media gembira menyertai program ini,” katanya.