Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Arau, Asisten Superitendan Mohd. Daniel Mohd. Razali berkata, pihaknya mengambil masa selama tiga hari berturut-turut membuat pemantauan terhadap motosikal yang terlibat dalam lumba haram itu.

Beliau berkata, sebanyak enam suspek berusia dari 16 hingga 26 tahun dari sekitar Arau, Kangar dan Kodiang, Kedah telah ditahan dan masing-masing telah mengaku salah di Mahkamah Majistret semalam.

"Dua daripadanya dihukum penjara seminggu dan didenda RM5,000 manakala selebihnya diikat jamin RM1,000 dan berkelakuan baik selama tiga tahun," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Logistik/Trafik Mata Ayer Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini hari ini.

Mohd. Daniel berkata, sebanyak enam motosikal dirampas iaitu empat jenis Honda EX5 dan masing-masing satu jenis Yamaha LC135 dan Yamaha 125 Z.

"Kegiatan lumba haram itu dikesan bermula antara pukul 6 petang hingga 7 malam yang dikatakan menawarkan hadiah wang tunai dari RM20 hingga RM300 untuk pemenang,"  katanya. - UTUSAN ONLINE