Ini berikutan termeterainya satu memorandum persefahaman (MoU) usaha sama antara PME dan syarikat dari China, Lu Hai Feng Holding (M) Sdn. Bhd. (LHF) bagi membina kapal nelayan kelas C2 dalam satu majlis di limbungan kapal PME di Kampung Tengah Kuala Perlis dekat sini semalam.

Sebelum ini, PME yang ditubuhkan pada 1992 hanya menumpukan pembaikan dan pembinaan bot peronda aluminium bersaiz kecil dan sederhana serta berkelajuan tinggi milik agensi penguat kuasa di negara ini.

Sehingga kini, sebanyak 31 bot yang antaranya milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya dibina.

Pengurus Besar PME, Kap­ten Ahmad Azamri Muhammad Nor berkata, pembinaan kapal nelayan generasi baharu yang berteknologi tinggi penting bagi me­ningkatkan kemampuan go­longan itu dalam mendaratkan ikan, khususnya di negeri ini.

“Ini bermakna dengan menggunakan kapal diperbuat daripada gentian kaca atau aluminium berbanding kayu, nelayan boleh pergi menangkap ikan ke laut dalam sehingga seminggu.

“Reka bentuk kapal-kapal ini juga membolehkannya tahan berhadapan dengan cuaca buruk dan ombak setinggi lebih lima meter, memiliki tempat tidur selain kemudahan ruang penyimpanan sejuk beku ikan dan tandas,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan bot yang lebih baik dengan ciri-ciri keselamatan, mampu menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang perikanan seterusnya menjamin industri tersebut berdaya saing pada masa depan.

“Berbanding negara maju, malah di Thailand sendiri, nelayan adalah golongan berpendapatan tinggi dan diminati go­longan muda,” katanya.