Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin berkata, jadilah pengguna bijak yang sentiasa memerhati kebersihan si penjual atau pengendali makanan sebelum membeli.

Katanya, antara kriteria yang perlu diperhalusi apabila hendak membeli ialah dengan memastikan makanan yang dijual itu, dihidangkan dalam bekas berpenutup.

“Pengendali mestilah berpakaian lengkap seperti memakai apron dan penutup kepala dan menggunakan penyepit semasa mengendalikan makanan dijual,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Kempen Promosi Keselamatan Makanan - ‘Apa Sahaja Juadah Berbuka, Sebelum Membeli, Elakkan Keracunan Makanan’ di Bazar Ramadan Batu Bertangkup di sini semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan program itu.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Mahamad Sukor Senapi.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Program anjuran Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan negeri itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) dan MAIPs.

Dr. Zaini menambah, kempen itu menyasarkan untuk mendidik orang ramai dan penjual makanan agar sentiasa mengutamakan kebersihan di semua peringkat iaitu daripada pemprosesan makanan sehinggalah dijual kepada pengguna.

Turut diadakan ialah kempen berhenti merokok termasuk vape melalui tema ‘Bahaya Asap Rokok’.

Program tersebut disekalikan dengan aktiviti kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke-40 bagi tahun ini yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Ar Ridza Panggas.

Terdahulu seramai 120 asnaf terpilih daripada kariah Batu Bertangkup, Panggas dan Kok Klang menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin sebanyak RM600 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM72,000. - UTUSAN ONLINE