Seorang petani, Abdul Hamid Mat, 65, yang mengusahakan tanaman padi sejak 25 tahun lalu mendakwa, masalah itu adalah paling buruk pernah berlaku sekali gus menyebabkan dia menanggung kerugian lebih RM18,000 selepas semua hasil tanamannya di kawasan seluas tiga hektar itu rosak.

Kata Abdul Hamid, dia buntu dengan masalah yang berlaku itu walaupun sudah mengikut segala proses serta prosedur tanaman yang betul termasuk menggunakan baja, racun dan benih padi yang dibekalkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Selain saya, petani-petani lain di kawasan ini juga mengalami masalah sama namun mereka agak bernasib baik kerana sebahagian daripada kawasan tanaman sahaja yang menghadapi masalah padi angin.

“Sangat menyedihkan apabila melihat buah padi yang sudah masak itu luruh apabila disentuh dan ketika ditiup angin.

Semuanya sudah tidak boleh digunakan lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Justeru, Abdul Hamid berharap pihak bertanggungjawab melihat masalah yang berlaku itu dengan serius selain tampil memberikan bantuan kepada mereka.

“Kalau boleh saya harap pihak kerajaan boleh memberikan ganti rugi selain berharap benih yang dibekalkan itu adalah yang terbaik,” katanya yang mengusahakan tanaman padi tersebut pada Oktober tahun lalu.

Seorang lagi petani, Rosli Sirun, 65, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM3,000 selepas sebahagian daripada tanamannya di kawasan seluas dua hektar itu berdepan masalah padi angin.

“Saya lihat masalah tersebut berpunca daripada benih yang tidak berkualiti. Saya harap benih yang dibekalkan itu perlu betul-betul tulen seperti musim-musim sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli yang turut bersama para petani meninjau masalah tersebut di kawasan itu berkata, selain di sini, masalah tersebut juga didapati berlaku di kawasan-kawasan lain sekitar negeri ini.

Katanya, berdasarkan maklumat, hampir 30 peratus daripada 26,000 hektar kawasan tanaman padi di seluruh negeri ini berdepan masalah padi angin.

“Kita berharap agar pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan masalah ini dan membela nasih para petani yang mengalami kerugian itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE