Kali ini, acara yang diadakan di Kampung Telela, Pauh selama tiga hari bermula kelmarin, turut menarik 60 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertainya.

Dijangkakan seramai 100,000 orang akan hadir sepanjang acara yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan kerajaan negeri itu.

Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man semalam.

Pengarah JKKN negeri, Rahmat Mat Noh berkata, acara itu diharap menjadi salah satu produk pelancongan negeri yang boleh menjana pendapatan masyarakat setempat dan negeri-negeri lain.

“Selain itu, menerusi penganjuran Pesta Angin Timur 2017 kita mahu seni budaya bangsa dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini.

Pesta Angin Timur merupakan musim peredaran cuaca daripada sejuk ke musim panas di negeri ini yang dibawa oleh angin dari sebelah timur.

Ketika ini, padi sudah di­­­tu­ai dan pesawah menanti petak sawah digenangi air semula untuk tanaman padi musim sete­rusnya.

Itu juga merupakan saat untuk para petani berpesta, meraikan musim penanaman padi yang te­lah berjaya selama ini.

Antara acara diadakan seper­ti pertandingan wau, menghias kubota, mengemping padi, dam aji, congkak, dikir barat, suara burung merbah jambul, petani sasa, badang bendang, futsal bendang, memancing di bendang, menggagau ikan dan menangkap itik.