Ia terbukti telah berjaya me­ngangkat kesenian tempatan, khususnya rakyat negeri ini ke satu tahap lebih tinggi.

Sambutan diterima amat menggalakkan, kira-kira 100,000 pengunjung berbanding hanya 30,000 orang di peringkat awal penganjurannya pada 2011.

Berbeza dengan penganjuran pesta kebudayaan lain, Pesta Angin Timur memaparkan keunikan tersendiri cara hidup orang Mela­yu di utara tanah air.

Mereka dikaitkan dengan aktiviti sawah padi.

Ini kerana pada ketika ini berlakunya peredaran musim daripada sejuk kepada panas yang dibawa oleh angin dari sebelah timur ke Perlis.

Semasa inilah, pesawah yang baharu selesai menuai padi sedang ‘berehat’ sementara menanti petak-petak sawah digenangi air semula untuk tanaman padi seterusnya.

Justeru tidak hairanlah akti­viti dan sukan rakyat dijalankan di sepanjang Pesta Angin Timur mempunyai kaitan dengan sawah padi.

Antara pengisiannya adalah pertandingan sukan rakyat, gerai jualan, demonstrasi, persembahan kebudayaan dan artis jemputan, Noraniza Idris.

Lebih menarik, Pesta Angin Timur turut disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara.

Malah mendapat kerjasama erat daripada Kementerian Pelancong­an dan Kebudayaan yang melihat acara itu mampu menyemarakkan aktiviti kesenian tradisonal.

Dengan mengekalkan keaslian dan keindahan cara hidup rakyat negara ini sebagai konsepnya, diharapkan Pesta Angin Timur mampu menjadi produk pelancongan dan ikon kepada Perlis pada masa depan.