Kesemua peserta termasuk 20 wanita dari pelbagai latar belakang berusia antara 20 dan 50 tahun itu memulakan ekspedisi mereka dari Selat Panchor, Langkawi, pukul 9 pagi dan selamat tiba di jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kuala Perlis, pukul 4 petang.

Turut mengiringi peserta ekspedisi di bawah Kelab Sukan Rekreasi Arus Deras itu adalah enam buah bot pengiring termasuk daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurut ketua ekspedisi itu, Khairul Amri Hashim, aktiviti tersebut diadakan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat negara ini khususnya generasi muda.

Kata beliau, kesemua peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman yang berbeza dalam aktiviti sukan lasak itu.

“Walaupun ada yang masih baharu dalam kayak tetapi tetap berani menyertai ekspedisi yang mencabar ini. Sebanyak 20 buah kayak digunakan dan kami bergilir-gilir sehingga sampai ke Kuala Perlis,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang peserta, Khairunnisa Abd. Kadir, 34, berkata, dia hampir berputus-asa kerana tidak nampak arah daratan disebabkan cuaca yang berjerebu selain panas terik.

“Ada ketikanya, air yang tenang pula menyebabkan bot pengiring terpaksa membuat ombak agar kayak kami bergerak mengikut arus,” ujarnya yang berpengalaman selama empat tahun dalam sukan kayak.