Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah tersebut walau bagaimanapun bukanlah hak mutlak agensi berkenaan.

Kata beliau, sebaliknya lebih separuh daripada peruntukan diberikan itu untuk kegunaan pembayaran elaun para guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal, siak dan guru takmir di seluruh negara.

“Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM588 juta iaitu pembayaran khas secara sekali beri berjumlah RM1,500 kepada golongan terbabit.

“Justeru adalah tidak wajar mana-mana pihak mempersoal dan mempolemikkan peruntukan yang besar (Jakim) kerana menjadi tanggungjawab pemerintah menjaga Islam iaitu agama rasmi Persekutuan.

“Mengapakah hendak mempersoalkan perkara yang disepakati oleh semua kaum sebelum ini sedangkan sudah 60 tahun kita hidup secara harmoni dan saling menghormati,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi KAFA dan Tadika Islam Peringkat Negeri di Dewan Warisan, sebagai mengulas pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan peruntukan lebih tinggi diberikan kepada Jakim berbanding tahun lalu, walaupun dilanda kontroversi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mencemar duli ke majlis tersebut. - UTUSAN ONLINE