Ini memandangkan masa berlaku kes kebakaran atau kemalangan sama ada kecil ataupun besar tidak dapat ditentukan.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Mohd. Fadzil Harun berkata, setiap anggota bomba dan penyelamat mesti memastikan diri sendiri bukan sahaja dalam keadaan bersedia malah fizikal juga mesti fit supaya cergas dan pantas ketika menjalankan operasi.

Beliau berkata, pe­nganjuran Pertandingan Kawad Kecekapan Antara Balai-Balai 2017 baru-baru ini bukan sekadar untuk menguji kebolehan anggota untuk menyertai pertandingan peringkat kebangsaan.

“Apa yang lebih penting adalah untuk masing-masing menguji ketahanan mental dan fizikal peserta di dalam operasi sebagai anggota penyelamat,” katanya di sini.

Mohd. Fadzil berkata, pihak­nya tidak mahu memilih wakil secara rambang pada kali ini, sebaliknya dibuat secara pertandingan supaya dapat menilai untuk membuat pemilihan tepat.

Pertandingan kali ini melibatkan Balai Bomba Kangar, Arau, Kuala Perlis dan Padang Besar.

Setiap pasukan perlu menyertai Pertandingan Kawad Kecekapan yang dijalankan selama dua hari.

Pada hari pertama pertandin­gan, Kawad Operasi Hantaran Jauh Berhalangan diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis.

Hari kedua pula bagi acara Firefighters Combat Challange telah diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Perlis.

Pertandingan Firefighters Combat Challange lebih mencabar dengan menguji kekuatan peserta yang mana disertai lima pasukan yang mengambil bahagian.

Mohd. Fadzil berkata, kawad kecekapan dalam acara Kawad Operasi Hantaran Jauh Berhalang­-
an pula memerlukan setiap anggota bergerak sejauh 1,000 kaki atau sepanjang sepuluh gulung hos.

“Semasa membawa hos ini, anggota mesti menempuh pelbagai halangan seperti memasuki terowong dan berjalan di dalam bulatan tayar,” katanya.

Beliau berkata, selain itu mereka juga harus membawa hos untuk digunakan bagi memadam kebakaran dan sebagainya.

Mohd. Fadzil berkata, purata rekod kebangsaan untuk masa menghabiskan Kawad Operasi Hantaran Jauh Berhalangan ialah selama enam minit.

Bagaimanapun, katanya, keba­nyakan anggota mampu me­la­ku­kan antara lapan hingga sembilan minit.

Beliau berharap pasukan yang bakal mewakili JBPM Perlis akan berusaha untuk meningkatkan kecekapan dari segi masa supaya mampu membawa pulang kemenangan.

Tempat pertama pertandingan Ka­wad Operasi Hantaran Jauh Ber­halangan dimenangi oleh Ba­lai Bomba Kangar, kedua (Balai Bomba Arau), ketiga (Balai Bomba Padang besar) dan keempat (Balai Bomba Kuala Perlis).

Bagi pertandingan Firefighters Combat Challange, tempat pertama dimenangi oleh Balai Bomba Padang Besar, kedua (Balai Bomba Kangar), ketiga (Balai Bomba Kuala Perlis) dan keempat (Balai Bomba Arau).