Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Peningkatan Enrolmen Menengah dan Op Sifar Cicir Perlis yang diletakkan di bawah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dan Unit Prestasi dan Pelaksanaan Pendidikan (PADU).

Selain daripada Perlis, dua daerah turut dipilih untuk kajian yang sama iaitu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi dan Hulu Langat.

Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail berkata, pemilihan negeri ini sebagai projek perintis jawatankuasa itu adalah disebabkan jumlah penduduk dan bilangan sekolahnya yang kecil iaitu 100 buah.

Katanya, turut terlibat dalam projek itu nanti ialah agensi-agensi lain iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Agensi-agensi ini dilibatkan adalah untuk membantu perkara-perkara di luar bidang kuasa Jabatan Pendidikan negeri termasuklah isu ketiadaan dokumen akibat ibu bapa pelajar itu tidak mendaftarkan anak mereka setelah berkahwin di negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Khas Kepada Agensi Luar Berkenaan Inisiatif Murid Cicir Sifar di pejabat Pendidikan Negeri di sini hari ini.

Izmi memberitahu, jawatankuasa itu akan mengadakan bengkel untuk mengenal pasti isu-isu dan punca ketidakhadiran pelajar ke sekolah dan cuba mengatasinya dengan bantuan agensi-agensi terlibat.

Katanya, pihaknya kemudian akan mengadakan pertemuan dengan kesemua pengetua, guru besar dan penolong kanan hal ehwal murid untuk tindakan selanjutnya.

Tambah beliau, secara keseluruhan pada tahun lepas kehadiran pelajar ke sekolah di negeri ini adalah 89 peratus tetapi mula menurun pada Jun lalu.

“Inilah yang kita sedang lakukan iaitu untuk mencari apa punca menyumbang kepada faktor ini (penurunan kehadiran pelajar ke sekolah). Sasaran kita ialah kehadiran 95 peratus pelajar ke sekolah,” katanya. - UTUSAN ONLINE