Perkembangan tersebut bakal menyaksikan Perlis sekurang-kurangnya setanding dengan Mesir yang merupakan negara pengeluar terbesar buah tin khususnya untuk pasaran seluruh dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, projek penanaman buah tersebut diusahakan secara bersama antara kerajaan negeri dan sebuah syarikat swasta yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Katanya, pokok tersebut mula ditanam sejak Disember 2016 dan sejak daripada tempoh itu buah berkenaan mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan negara Asean.

“Sebanyak 16,000 batang pokok tin sudah ditanam di tapak berkenaan malah kita sudah mula menuai buah itu sejak April tahun lalu.

“Perkembangan itu secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan tahunan kerajaan negeri memandangkan buah berkenaan berharga RM120 untuk sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Pertukaran Memorandum Perjanjian bagi Projek IMT-GT Superfruit di Tapak Projek IMT-GT, hari ini.

Tambah Azlan, sebanyak empat tan buah tersebut dituai dalam tempoh sebulan dan jumlah itu dijangka terus meningkat memandangkan masih banyak pokok belum menghasilkan buah.

“Sebelum ini, kita sudah melawat Thailand yang turut menanam buah tin, namun ladang mereka hanya mempunyai 2,000 batang pokok dan itu pun sudah dikira ladang yang terbesar di negara itu,” katanya.

Kata beliau lagi, bagi menjamin ketahanan dan kesuburan pokok berkenaan, kerajaan negeri turut menjalin kerjasama dengan beberapa universiti luar dan agensi kerajaan dalam bidang kajian pertanian.

“Selain buah tin, kita turut menanam buah lemon dan buah gac dengan keluasan tapak seluas 25 hektar di tapak projek ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE