Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mencari mekanisme terbaik menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam masa sama, Azlan turut memberi jaminan membawa perkara ini kepada pihak berwajib sekurang-kurangnya golongan petani yang mengalami kerugian itu mendapat bantuan.

“Saya difahamkan padi angin ini sudah tidak tahan kebal de­ngan racun yang digunakan dan sehingga tahap ini racun tersebut sudah tidak memberi kesan.

“Dalam mengatasi masalah ini, bukan sekadar pendekatan memberi bantuan sahaja tetapi ia mesti disertai dengan kajian bagaimana untuk mengatasi masalah padi angin ini dalam jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui selepas Program Bantu Rakyat di Kampung Katong, di sini hari ini.

Semalam Utusan Online me­laporkan kira-kira 7,000 pesawah membabitkan kawasan seluas 15,000 hektar di negeri ini dan Kedah terjejas apabila kawasan tanaman padi mereka berdepan dengan masalah padi angin.

Sementara itu, Pengarah Pertanian negeri, Zulkefli Amin Mat Jusoh berkata, penggunaan benih padi yang disahkan oleh pihak berkuasa sahaja tidak menjamin untuk pesawah menangani masalah padi angin jika mereka tidak melaksanakan amalan pertanian ladang yang ditetapkan.

“Pesawah sepatutnya membiarkan jerami selama seminggu dan selepas itu meracun apabila padi angin mula tumbuh.

“Amalan pertanian ladang ini jika dilakukan berserta penggunaan benih padi yang sah oleh pihak berkuasa (Jabatan Pertanian) boleh menangani masalah padi angin.

“Amalan tersebut juga boleh mengatasi penyakit padi yang lain seperti karah batang yang sering terjadi ketika cuaca tidak menentu seperti sekarang,” katanya.

Ketua Cawangan Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Mohd. Hafizi Zakaria berkata, masalah tersebut didapati berpunca daripada faktor taburan hujan yang meningkat pada Ogos sehingga November tahun lalu selain penggunaan benih kurang berkualiti yang menjadi penyebab kepada masalah padi angin.

Sebelum itu, lebih 30 pesawah di Kampung Belat Batu di sini, kerugian hampir RM200,000 selepas tanaman mereka yang diusahakan di kawasan seluas 115 hektar di situ, berdepan dengan masalah padi angin.

Masalah sama turut dilaporkan di Sungai Baru Tengah, Simpang Empat baru-baru ini dengan lebih 16 petani di kawasan seluas 33 hektar itu terpaksa menanggung kerugian mencecah RM70,000.