Perlis Marathon 2018 bakal berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini pada 5 Mei depan dengan sasaran lebih 15,000 peserta dari dalam dan luar negara memeriahkan pertandingan kali ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, acara kali ini dijangka lebih meriah selepas kejayaan penganjuran sebelum ini.

Beliau berkata, Perlis Marathon yang diadakan sejak 2015 itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat pengiktirafan di tempat kedua terbaik daripada segi penganjurannya selepas Standard Chartered KL Marathon.

“Ia sesuatu pencapaian yang membanggakan meskipun kita antara negeri baharu menganjurkan pertandingan ini. Kita harap Perlis akan terus menempa kejayaan berdasarkan sambutan yang memberangsangkan dalam pertandingan sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas maj­lis perhimpunan bulanan kerajaan negeri dan pelancaran Perlis Marathon 2018 di Dewan Warisan di sini hari ini.

Tambah Azlan, setakat ini, le­bih 8,000 sudah mengesahkan penyertaan dalam pertan­dingan yang membabitkan empat kate­gori iaitu 42 kilome­ter (km), 21km, 10km dan 5km (fun run).

Katanya, beliau percaya jumlah tersebut akan terus bertambah menjelang hari pertandingan dan seterusnya mencapai sasaran 15,000 peserta.

“Penganjuran Perlis Marathon kali ini mendapat kerjasama dan tajaan Kumpulan Naza, agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta dan persendirian,” katanya.