Ammar Hassan

Pengerusi Penganjur Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Dr. Ammar Hassan berkata, berdasarkan statistik Jabatan Imigre­sen, lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin ke pulau bebas cukai itu, melalui negeri ini.

Beliau berkata, bi­lang­an paling tinggi dicatatkan ialah pada 2010 dengan seramai enam juta pelancong datang ke Perlis melalui Padang Besar, Wang Kelian dan Kuala Perlis khususnya untuk ke Langkawi.

“Oleh itu, kita boleh memanfaatkan beberapa tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa se­perti yang terdapat di Gua Kelam, Wang Kelian dan Taman Ular bersekali dengan LADA.

“Selain itu, kita dapat meningkatkan pendapatan penduduk khususnya sektor inap desa yang kini sema­kin perlahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan berhu­bung pembangunan negeri ini, di sini baru-baru ini.

Wakil Gabungan NGO yang hadir antaranya ialah Persatuan Kelab Usahawan dan Pelan­congan negeri, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil negeri, Persatuan Kebudayaan negeri dan Persatuan Kontraktor negeri.

Ammar berkata, pihaknya juga mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan zon perdagangan bebas di negeri ini dengan Kuala Perlis atau Padang Besar menjadi tarikan seperti mana di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE).

“Ini kerana Perlis terletak di sempadan dan kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) yang mampu menawarkan produk dari Thailand, Indonesia, China, Vietnam dan Kemboja. Kita mahu Perlis menjadi pintu masuk pelancong dari Asia Pasifik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan membawa kertas cadangan itu kepada kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

“Kita mahu wujudkan lonjakan fasa kedua pembangunan negeri ini selepas Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA),” kata­nya.