Pengarah Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Dr. Othman Warijo berkata, jumlah pelajar yang menjadi pembawa talasemia itu melibatkan hampir 30 peratus daripada yang disaring.

Menurutnya, ujian saringan ter­sebut yang diadakan sejak 2016 bertujuan mengesan pelajar yang menjadi pembawa penyakit berkenaan seterusnya mengelak mereka berkahwin dengan pasangan yang juga pembawa.

“Jika ini dapat dilakukan (me­ngelak perkahwinan sesama pem­bawa talasemia), kita dapat mengelak satu daripada empat anak yang dilahirkan ini sebagai penghidap talasemia manakala dua lagi pembawanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Talasemia dan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat HTF di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pakar Perunding Kanan Pediatrik HTF, Dr. Abdul Nasir Mohamed Abd. Kadher.

Jelas Othman, sehingga kini HTF membelanjakan sebanyak RM1.7 juta setahun untuk perbe­lan­jaan seramai 91 orang pesakit talasemia.

Dalam pada itu, penderma darah tertinggi di HTF iaitu sebanyak 84 kali, Lim Lai Wat, 57, membe­ritahu, dia berbangga kerana dapat menyumbang dan membantu orang yang memerlukan.

Katanya yang memiliki darah jenis O iaitu boleh diterima untuk semua jenis darah, dia menderma darah sejak 1984 menerusi satu kempen yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan.

“Sejak dari itu, saya terus menderma darah antara sekali sehingga empat kali setahun. Kebaikan menderma darah adalah saya rasa susah hendak mendapat demam apatah lagi penyakit,” katanya.