Titah baginda, Perlis sentiasa merujuk kepada al-Quran dan sunah untuk menentukan ukuran betul atau salah menurut kefahaman salafus soleh dengan mengambil manfaat khazanah ilmu yang luas apabila wujud isu yang menjadi pertikaian.

“Islam adalah agama yang mempunyai prinsip jelas serta sesuai dalam segala hal dan cabaran untuk memenuhi keper­luan semasa umatnya,” titah ba­ginda semasa merasmikan Simposium Penerima Tauliah dan Penganugerahan Watikah Tauliah Mengajar Agama Islam 2017 di Universiti Teknologi Mara Arau, Perlis, kelmarin.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis menegaskan, Perlis berpegang pada Ahli Sunah Waljamaah yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dan merupakan nege­ri terawal mengamalkan mazhab tersebut.

Seramai 150 peserta menghadiri program tersebut yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Perlis.

Terdahulu diadakan ceramah bertajuk Memahami Fatwa-fatwa Negeri Perlis yang disampaikan oleh Anggota Jawatankuasa Fatwa Perlis, Dr. Rozaimi Ramli dan Hala Tuju Dakwah Pengajaran Agama Islam: Cabaran dan Persiapan Para Dai Masa Kini oleh pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamil Jamilin. – BERNAMA