Azlan Man

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, sekiranya berjalan lancar, projek itu termasuk pembinaan sebuah hotel dan antara pembangunan terbesar melibatkan kerajaan negeri dan pihak swasta, akan dapat dimulakan pada tahun hadapan.

Kata beliau, keperluan pembinaan hotel merupakan perkara penting yang harus diberi perhatian jika ingin melonjakkan sektor pelancongan di Perlis.

“Ini kerana daripada seramai 5.7 juta pelancong yang datang ke Perlis tahun lalu, hampir ke­semuanya hanya ‘lalu’ sahaja untuk ke Langkawi, Kedah dan tidak bermalam di ne­geri ini.

“Hanya sebahagian kecil daripadanya bermalam di Perlis dan sudah tentu merupakan kerugian buat negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Hotel Al Kausar milik Yayasan Islam Perlis (YIPs) di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah YIPs, Datuk Azam Rashid.

Azlan diminta mengulas perjanjian usahasama membangunkan Kuala Perlis melibatkan pemba­ngunan komersial bercampur antara PKENPs dan Tabung Haji Properties Perlis Sdn. Bhd. di Hotel Putra Palace di sini, semalam.

Menurut Azlan, terdapat tiga buah hotel utama di negeri ini iaitu Putra Palace, Putra Brasmana dan Seri Malaysia yang keseluruhannya hanya berjumlah kira-kira 300 buah bilik.

Katanya, dengan perkemba­ngan semasa termasuk wujudnya perkhidmatan tren elektrik (ETS) baru-baru ini, bilangan pelancong domestik ke utara Semenanjung dijangka meningkat.

“Maka sebab itu, kita perlu me­rebut peluang kedatangan pelancong ke utara dan menggalakkan mereka bermalam di sini (Perlis),” katanya.

Dalam pada itu, Hotel Al Kausar bertaraf tiga bintang dan setinggi lapan tingkat tersebut bakal menjadi satu mercu tanda di bandar ini apabila siap kelak pada 2017.

Hotel yang menelan kos seba­nyak RM17 juta itu juga dijangka menjadi tarikan kerana menggunakan konsep halalan toyyiban serta bercirikan Islam daripada penyediaan makanan sehinggalah pakaian kakitangannya.