Perkembangan tersebut me­nyaksikan Perlis sekurang-ku­rangnya setanding dengan Mesir yang merupakan negara pengeluar terbesar buah tin, khususnya untuk pasaran global.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, projek penanaman buah tersebut diusahakan bersama antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat swasta yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Katanya, pokok tersebut mula ditanam sejak Disember 2016 dan sejak dari tempoh itu, buah ber­kenaan mendapat permintaan yang cukup tinggi dalam kalangan negara ASEAN.

“Sebanyak 16,000 pokok tin sudah ditanam di tapak berkenaan, malah kita mula menuai buah itu sejak April tahun lalu.

“Perkembangan itu secara ti­dak langsung dapat membantu mening­katkan sumber pendapatan tahunan kerajaan negeri memandang­kan buah berkenaan berharga RM120 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Pertukaran Memorandum Perjanjian Projek IMT-GT Superfruit di tapak projek IMT-GT di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan FigDirect Sdn. Bhd., Robin Lim dan Timbalan Pengarah IMT-GT Subregional Corporation, R. Balamurugan.

tambah Azlan, sebanyak empat tan buah tersebut dituai dalam tempoh sebulan dan jumlah itu dijangka terus meningkat memandangkan masih banyak pokok belum menghasilkan buah.

“Sebelum ini, kita sudah melawat Thailand yang turut menanam buah tin, namun ladang mereka hanya mempunyai 2,000 batang pokok dan itu pun telah dikira ladang yang terbesar di negara itu,” katanya.

Katanya lagi, bagi menjamin ketahanan dan kesuburan pokok berkenaan, kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti luar dan agensi kerajaan dalam bidang kajian pertanian.

“Selain pokok tin, turut dita­nam di tapak projek berkenaan ialah buah lemon dan buah gac dengan keluasan tapak seluas 25 hektar,” katanya.