Begitu juga soal pematuhan peraturan jalan raya, adalah lebih tepat apabila diajar atau diterapkan di peringkat sekolah lagi.

Atas dasar itulah, Jabatan Pe­ngang­kutan Jalan (JPJ) me­nu­buh­kan kadet JPJ membabitkan pelajar sekolah menengah se­jak 2015.

Ia terkandung dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 yang menumpukan peng­libatan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Sehingga kini, sebanyak 221 sekolah telah menubuhkan kadet JPJ di seluruh negara.

Matlamatnya untuk melahirkan generasi yang patuh pada undang-undang jalan raya dan mengurangkan 50 peratus kemalangan melibatkan pelajar.

Bagi menjadikannya lebih me­narik, satu program Perkhemahan Kadet JPJ Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Perlis, Timah Tasoh di Padang Besar, baru-baru ini.

Dalam program tiga hari itu, seramai 291 pelajar bersama 31 guru pengiring daripada 17 sekolah menengah di seluruh negara terlibat menjayakannya.

Pelbagai program dilaksanakan antaranya aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk setempat, ceramah motivasi, kempen kese­lamatan jalan raya dan pertan­dingan kawad kaki.

Pertandingan kawad kaki dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang Satu.

Ketua Platun Terbaik dimenangi oleh Syamsul Farid Mohd. Rafie manakala bagi kategori Putera Terbaik (Muhammad Khairil Muhammad Fazilah) dan Puteri Terbaik (Nur Shatira Atikah Roslan Adi).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi yang menutup program tersebut telah menyampaikan hadiah kepada para peserta.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah Pengangkutan Jalan, Da­tuk Nadzri Siron dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Ope­rasi Pendidikan), Datuk Ahmad Tajudin Jab.