Naib Ketua Wanita UMNO negeri, Asmaiza Ahmad berkata, Dr. Mahathir perlu mengambil kira kehendak kebanyakan rakyat yang mahu jawatan Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri segera dilucutkan.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, tindakan Waytha Moorthy yang membuat fitnah jahat terhadap negara sendiri dan agama Islam dalam wawancara di Belanda 10 tahun lalu sama sekali tidak boleh diterima.

“Kita minta kerajaan mengambil tindakan kepada menteri itu yang sememangnya tidak layak memegang jawatan berkenaan. Perdana Menteri juga harus mendengar suara rakyat yang jelas menolak Waytha Moorthy,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan terhadap bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu berhubung tindakannya memburuk-burukkan nama negara di Balai Polis Beseri di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Dr. Mahathir mempertahankan tindakan Waytha Moorthy berhubung video tular mengenai wawancaranya di Belanda kira-kira 10 tahun lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan itu dilaporkan berkata, rakyat perlu memberi peluang kepada beliau menjalankan tugasnya sebagai anggota Kabinet.

Malah kata Dr. Mahathir, petisyen yang menggesa Waytha Moorthy meletak jawatan bukan satu keperluan dan arahan daripada beliau.

Sementara itu, Wanita UMNO percaya bahawa kenyataan Waytha Moorthy dalam wawancara tersebut adalah berniat menghasut, membangkitkan rasa benci, penghinaan dan perasaan tidak suka kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada masa sama, kata Asmaiza, tindakan itu juga boleh menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya mengancam keselamatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Asmaiza memberitahu, UMNO negeri ini menyediakan sebanyak enam buah bas untuk kemudahan kepada ahli atau sesiapa sahaja yang berminat menyertai perhimpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur, pada 8 Disember depan.- UTUSAN ONLINE