Sehubungan itu Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, dengan penganjuran program Skill Challenge and Tourism Festival (SkillCT Fest 2017) ini adalah sesuatu yang amat tepat dan ‘kena pada waktunya’.

“Inisiatif yang diambil ini juga selaras dengan peranan pihak kerajaan yang juga telah menganjurkan pelbagai pertandingan, menyediakan pelbagai platform untuk mencungkil bakat dan meningkatkan kebolehan para pelajar dalam pelbagai kemahiran,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Penutup Program SkillCT Fest 2017 di Dewan Harumanis PTSS di Pauh Putra di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Senator Ramli Shariff.

Yang turut hadir Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik, Azizi Lin dan Pengarah PTSS, Dr. Mohd Zahari Ismail.

Kira-kira 2,000 pelajar dan juga pensyarah politeknik dari seluruh negara mengikuti SkillCT Fest 2017 selama tiga hari mulai 25 September.

Sempena festival ini diadakan program PolySkill, Poly E-Cup, Perlis Photo Festival, Edutourism dan Agro Bazaar.

Azlan berkata, generasi muda juga perlu dipupuk supaya tidak terlalu bergantung kepada orang lain atau hanya berfikir untuk makan gaji sahaja selepas tamat pengajian nanti.  

“Ini sejajar dengan apa yang terkandung dalam aspirasi Transformasi Nasional 50 (TN50),” katanya.