Orang Barat, titah baginda, menitikberatkan ‘budaya dokumentasi’ oleh itu, pelbagai ilmu dapat didalami dan diterokai mengenai dunia sekiranya bahasa Inggeris dikuasai.


“Malah jika seseorang itu petah berbahasa Inggeris, pasti banyak perkongsian ilmu dapat dijalankan tidak kiralah dalam apa jua bidang sekalipun,” demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyertai program ‘Mengenali Keindahan Kampung di Perlis’ bersama 28 orang para peserta luar negara daripada ‘Limited Resource Teacher Training (LRTT)’ baru-baru ini.


Pada masa yang sama, titah baginda, ia dapat meningkatkan taraf pendidikan keluarga serta merupakan ‘nilai tambah’ dalam diri sendiri, begitu juga sebagai ketua keluarga.


“Dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik akan membantu mendorong anak-anak meminati bahasa ini melalui pertuturan seharian di dalam bahasa ini, selain membantu para guru apabila mereka sudahpun dibiasakan dengan bahasa Inggeris di rumah,” titah baginda.


Program kayuhan itu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).


Ia disekalikan dengan program ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali yang ke 60 bagi tahun 2018 ini yang bermula dan berakhir di pekarangan surau Sekolah Menengah Tengku Suleiman, Tunjong.


Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis yang juga merupakan salah seorang ahli majlis MAIPs, Izmi Ismail.


Para peserta program tersebut berpeluang melihat sendiri keindahan negeri Perlis khususnya bukit bukau batu kapur, sungai, sawah padi dan ladang getah yang terdapat di sekitar kawasan yang dilalui.


Mereka juga berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana pihak MAIPs menyalurkan sumbangan agihan zakat di masjid kepada seramai 117 orang dan turut singgah di tiga buah rumah asnaf terpilih sepanjang kayuhan. Jumlah penuh sumbangan MAIPs pada kali ini ialah sebanyak RM72,000.


Mereka turut berpeluang masuk melawat ke dalam Masjid Al Ghofur, Kg Pdg Lati dan diberikan taklimat mengenai Islam dan juga fungsi-fungsi masjid tersebut.


Untuk maklumat LRTT (lrtt.org) ditubuhkan pada tahun 2012. Ia adalah sebuah pertubuhan sosial yang membantu meningkatkan kemahiran dan tenaga pengajar di seluruh dunia.


Program yang dilaksanakan di Perlis selama tiga minggu buat julung-julung kalinya ini melibatkan penyertaan seramai 28 guru-guru dan beberapa orang pensyarah daripada United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat.


Pemimpin kumpulan itu adalah daripada LRTT, UK dan sepanjang tempoh tiga minggu berada di Perlis ini mereka berkongsi pengalaman, teknik pedagogi yang menggabungkan konsep pembelajaran yang menyeronokkan dan sebagainya.


Jadual program mereka turut melibatkan kunjungan ke sekolah-sekolah, penyeliaan, bimbingan, cadangan, persidangan dan juga latihan. - UTUSAN ONLINE