Tuanku Syed Faizuddin menyertai program Op Pasir 2018 sempena lawatan ke Sabah itu bersama seramai 25 delegasi terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Perlis dan tokoh-tokoh korporat.

Tahun ini, baginda melakukan lawatan dan tinjauan ke empat buah pos pasukan keselamatan masing-masing di Pulau Mandi Darah; Pulau Tigabu; Pulau Malawi dan Pulau Balambangan.

Di setiap pos berkenaan, ba­ginda meluangkan masa hampir sejam bertanya khabar serta memberi kata-kata semangat kepada anggota yang bertugas selain memberi sumbangan sempena Aidilfitri kepada mereka.

Dalam masa sama, rombongan yang menyertai program tersebut juga tidak melepaskan peluang melihat keindahan di setiap pulau tersebut selain beramah mesra dengan penduduk setempat melalui pelbagai aktiviti diatur.

Di sebalik kepenatan terutama pada bulan Ramadan berdepan dengan cuaca panas dan mengharungi perjalanan di laut yang memakan masa lebih sejam ke sesebuah lokasi namun tidak melemahkan semangat para rombongan untuk merasai pengalaman tersebut.

Malah terdapat dalam kala­ngan delegasi memaklumkan perjalanan yang ditempuh sepanjang Op Pasir itu merupakan pe­ngalaman yang cukup berharga dan akan diingati sampai bila-bila.

Aktiviti dan perjalanan di pulau terbabit yang bermula pada pukul 8 pagi sehingga pukul 6 petang itu diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas kapal Auxilliary Bunga Mas Lima di perairan Kudat.

Sehari sebelum itu, baginda turut berkenaan berangkat mencemar duli menghadiri Majlis Titian Kasih Mega 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahim dan SMK Abdul Rahim 2, Kudat.

Dalam lawatan itu, baginda berkenan merasmikan Surau Tuan­ku Hajjah Lailatul Shahreen selain menanam pokok bunga kertas sebagai tanda kenangan di kawasan SMK Abdul Rahim.

Malah, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang di dua sekolah tersebut menerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).

Sementara itu, titah baginda, antara objektif lawatan tahunan itu adalah bagi mendedahkan kepada delegasi mengenai perlaksanaan serta menyelami cabaran dan tugasan oleh pasukan-pa­sukan keselamatan di sempadan perairan negara.