Saban hari, mereka hanya menggunakan sumber daripada su­ngai, tadahan air hujan dan kolam ber­dekatan untuk aktiviti seharian.

Akhirnya, penantian dalam tempoh cukup panjang itu berakhir semalam apabila Petronas Dagangan Berhad (PDB) mengambil inisiatif menyediakan dua telaga dan empat tangki besar untuk menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk di kampung berkenaan.

Kampung tersebut adalah kawasan ke-14 dari seluruh negara yang terpilih dalam program Water For Life iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PDB dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang dirintis sejak tahun 2013.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus berkata, pihaknya telah menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada penduduk di Kampung Baru Lubuk Machang yang selama ini hanya bergantung kepada sumber daripada tadahan air hujan dan kolam berdekatan.

“Program Water For Life diwujudkan atas kesedaran mengenai masalah kekurangan air khusus­nya di kawasan kampung dan pe­dalaman.

“Untuk itu, kita turun padang bagi kerja pemasangan empat tangki air berkapasiti 3,785 liter yang dilengkapi sistem penapisan untuk membekalkan air bersih kepada penduduk di sini,” kata­nya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Water For Life di Kampung Baru Lubuk Machang di sini, kelmarin.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Yang turut hadir, Pengerusi Pe­nasihat Bahagian Pendidikan Alam sekitar MNS, Profesor Dr. Ahmad Ismail; Ahli Dewan Un­dangan Negeri Chu­ping, Asmaiza Ahmad; dan Ketua Kampung Baru Lubuk Machang, Mohd. Shah­budin Khalid.

Terdahulu ketika bertitah, 
Tuanku Syed Faizuddin mengucapkan terima kasih kepada PDB dan MNS yang bekerjasama dengan penduduk kampung dalam menjayakan program tersebut selain berbesar hati kerana Perlis dipi­lih sebagai lokasi bagi untuk program Water For Life pada kali ini.

Justeru baginda berharap, semua pihak dapat memastikan kebersihan telaga dan tangki air yang disediakan itu supaya sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan bebas daripada sebarang bentuk pencemaran.