NUR HAYANIS HAIRUNIZAN
NUR HAYANIS HAIRUNIZAN

Mangsa, Nur Hayanis Hairunizan, 20, pelajar tahun satu dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan mengikuti aktiviti mendaki bersama 24 rakannya yang lain dan tiga tenaga penyelaras program pada pukul 8.30 pagi.

Pada pukul 3 petang, Nur Hayanis dikatakan telah jatuh tersembam ketika menuruni bukit bersama beberapa kumpulan pelajar yang lain.

Mangsa kemudian berdiri semula dan berjalan tetapi tidak lama kemudian telah rebah dan pengsan.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada bomba, Jabatan Kesihatan Hospital Tengku Fauziah (HTF), Jabatan Perhutanan negeri dan polis telah digerakkan bagi memberi bantuan kecemasan tetapi mangsa disahkan telah meninggal dunia.

Jenazah mangsa telah dibawa ke HTF untuk menjalani bedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintenden Muhamad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - UTUSAN ONLINE