Dalam program selama sejam yang bermula pukul 12 tengah hari, kira-kira 50 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini telah menyertainya.


Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.


Salah seorang pelajar tingkatan empat SMK Derma, Athirah Fisol, 16, ketika ditemui berkata, dia menyertai program tersebut secara sukarela setelah mengetahuinya daripada rakan-rakan sejak minggu lepas.


“Kami beramai-ramai datang ke masjid untuk membaca al-Quran secara beramai-ramai,” katanya yang berpendapat dengan membaca al-Quran boleh melembutkan hati yang keras.


Rakannya, Alya Najwa Shukri, 16, yang juga dari sekolah sama berkata, peluang dapat menyertai program itu sesuatu menyeronokkan kerana pertama kali dilakukannya secara beramai-ramai.


“Biasanya saya mengaji di rumah tetapi kali ini suasananya berlainan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan,” katanya.


Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat negeri, Muhammad Azizul Hakim Idris berkata, sewajarnya program itu dapat diperluaskan ke pejabat agensi-agensi kerajaan lain.


“Program ini boleh bersama menanam minat membawa al-Quran yang merupakan wahyu dan ‘surat cinta’ Allah kepada manusia,” katanya.


Dalam program #Malaysiangaji anjuran Perpustakaan Awam negeri itu, dianggarkan lebih 10,000 orang yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan pelajar-pelajar sekolah mengambil bahagian. - UTUSAN ONLINE