Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kawasan terbabit termasuk di Jalan Kangar-Kaki Bukit, Jalan Alor Sena, Jalan Santan, Jalan Belanga Pudak dan Jalan Tebing Tinggi.

“Kita mendapati punca berlakunya banjir di kawasan terbabit kerana masalah pada sistem perparitan yang didapati gagal untuk mengalirkan air dengan sempurna apabila berlaku limpahan air dengan banyak,’’ katanya selepas ditemui selepas majlis Sumbangan Bantuan Persekolahan Untuk Pelajar-Pelajar Mangsa Banjir di Dewan Seri Melati, Beseri dekat sini hari ini.

Pada majlis itu sebanyak 289 sebanyak pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri, Santan dan Bintong menerima baucer RM150 untuk membeli peralatan persekolahan.

Azlan berkata, pihaknya juga te­lah menjalankan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri baru-baru ini untuk segera mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah sistem perparitan di kawasan terbabit.

“cadangan JKR adalah melakukan pelebaran pada parit yang sedia ada itu supaya pengaliran air akan berjalan lancar,’’ katanya.

Katanya, buat permulaan pihak­nya akan menggunakan peruntukan sedia ada untuk menyelesaikan dahulu masalah perparitan di kawasan terbabit.

Tambahnya, selain itu antara punca yang membawa masalah kepada sistem perparitan kerana saiz pembentung konkrit yang agak kecil.

Sehubungan itu, katanya selepas selesai membaikpulih sistem perparitan di kawasan terbabit nanti pihaknya akan memastikan semua saiz pembentung konkrit dalam sistem perparitan di seluruh negeri ini diseragamkan.

Kita akan menukar semuanya saiz yang sama besar supaya pengaliran air berjalan lancar,’’ katanya.

Azlan berkata, berbanding dengan sebelum ini saiz pembentung konkrit tidak sama sehingga ia menjadi punca laluan air tersekat apabila berlaku limpahan air yang banyak khususnya di musim hujan.

Bagaimanapun katanya, penukaran kepada pembentung konkrit baru mengambil masa kerana perlu mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Pusat dahulu.