Program dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu melibatkan aktiviti gotong-royong membersihkan sekitar kawasan serta keceriaan landskap masjid melalui aktiviti mengecat dan baik pulih kemudahan asas.

Menurut Komandan Palapes Unimap, Kol. Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, program yang diadakan itu selaras dengan Program Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi (PT) 2015-2025 menerusi Lonjakan 1 iaitu melahirkan graduan holistik serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa.

"Selain itu juga, program ini mampu mewujudkan jalinan kerjasama erat antara universiti dengan masyarakat setempat selaras dengan moto 'universiti dan masyarakat berpisah tiada'," katanya.

Pada program tersebut, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap dan Yang Dipertua MAIPs turut berkenan mencemar duli berangkat merasmikan program Jiwa Murni Palapes Unimap itu.

Hadir sama mengiringi baginda ialah CEO MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor serta Timbalan Komandan Palapes Unimap Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli. -UTUSAN ONLINE