Ia sekali gus menjadikan Perlis destinasi wajib dikunjungi untuk peminat mempelam ikon negeri paling utara itu, bagi menikmati keenakannya.

Sekali pun dengan kecanggihan dunia internet, mempelam itu kini boleh dibeli secara dalam talian dan dihantar sampai ke muka pintu, tetapi tidak sama apabila merasainya sendiri di ladang Harumanis.

Seharusnya peminat Harumanis menggunakan peluang setahun sekali ini untuk masuk ke ladang dan menikmati keenakannya, apatah lagi kerana Perlis dikatakan satu-satunya negeri yang sesuai untuk tanaman ini.

Berikutan itu, Pusat Jualan Yusof Awang (Y.A) yang diuruskan di bawah Koperasi Y.A, memberi peluang khususnya kepada masyarakat luar negeri ini untuk menikmati program secara santai di ladang seluas hampir sembilan hektar di bawah pengurusan mereka sambil menikmati menu inovasi mempelam Harumanis dan juga Perlis Sunshine.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan negeri, Datuk Sabry Ahmad melancarkan pusat jualan itu yang terletak di Lot 4136, Kampung Baru Panggas, Jalan Kilang Gula, Chuping, dekat sini.

Yang turut hadir Pengerusi Koperasi Y.A, Asri Yusoff dan Pe­ngarah Suruhanjaya Koperasi Ma­­laysia (SKM) negeri, Fadzir Ka­maruddin.

Menurut Asri, di pusat jualan Y.A itu, pengunjung diberi peluang untuk menikmati pakej inovasi agro.

Katanya, bagi yang berminat bolehlah membuat tempahan sekurang-kurangnya seminggu lebih awal bagi memudahkan persediaan dilakukan.

Katanya, minimum satu kumpulan adalah seramai 20 orang sehingga 80 orang maksimum.

“Menu yang berasaskan mempelam Harumanis dan juga Perlis Sunshine Gold ini akan disediakan oleh chef yang berpengalaman selama 22 tahun dalam angkatan tentera,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua pakej yang disediakan iaitu Pakej A berharga RM25 setiap seorang iaitu boleh menikmati Pulut Harumanis Berkrim, Jus Perlis Sunshine Gold, Perlis Sunshine Gold Leleh dan Puding Sagu Perlis Sunshine Gold.

Tambahnya, bagi Pakej B (RM28) pula disediakan dengan menu Pulut Harumanis Berkrim, Jus Perlis Sunshine Gold, Perlis Sunshine Gold Leleh dan Puding Sagu Perlis Sunshine Gold.

“Pulut Harumanis Berkrim ini merupakan pulut kukus bersama hirisan mempelam Harumanis dan susu krimer manis serta madu asli manakala Jus Perlis Sunshine Gold pula jus asli yang diekstrak daripada hirisan mempelam Perlis Sunshine Gold bersama nanas.

“Selain itu, Perlis Sunshine Gold Leleh pula merupakan hi­risan Perlis Sunshine dengan susu krimer dan madu asli serta Puding Sagu Sunshine Gold iaitu potongan dadu Perlis Sunshine dihidang bersama sagu gula Melaka, susu dan ais krim,’’ katanya.

Asri menambah, bagi mereka yang berminat untuk melawat ladang Harumanis, boleh menambah pakej dengan bayaran RM10 termasuk makanan ringan.

“Kita juga menyediakan inap desa dan juga tempahan mempelam untuk dibawa pulang dan juga boleh dibeli di pusat jualan yang disediakan,” katanya.