Beliau berkata, hujah sepatutnya dilawan dengan hujah bukannya melalui keganasan jika tidak bersetuju dengan sesuatu perkara itu.

“Apabila seseorang tidak bersetuju dengan versi negara Islam yang mereka kempen, bukan semestinya bererti orang itu menentang Islam.

“Apabila orang tidak menyokong dan membantah pandangan parti politik yang menggunakan Islam, bukan bererti dia membantah Islam.

“Maka, tidaklah ‘halal‘ untuk memusnahkan hartanya, atau mencederakannya hanya kerana dia berhujah membantah pandangan politik kepartian yang dibawa. Itu bukan jihad. Itu adalah jahat,” katanya dalam status Facebooknya di sini hari ini.

Utusan Online hari ini melaporkan selepas hampir dua bulan melarikan diri, seorang lelaki yang disyaki bertanggungjawab membakar kereta Mohd. Asri pada Mac lalu, akhirnya diberkas polis di sebuah rumah di Kampung Jelempok, Arau dekat sini, semalam.

Tangkapan hasil maklumat awam dan risikan itu dilakukan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, kira-kira pukul 2.45 pagi.

Berdasarkan pemeriksaan, lelaki berusia 36 tahun itu dan tidak bekerja mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Ketika mengesahkan perkara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengaku terlibat membakar kereta Mohd. Asri bersama seorang lagi lelaki setelah diupah dengan bayaran RM500.

Katanya, sehubungan itu, polis memburu suspek tersebut dikenali sebagai Mee Tomoi dan individu yang mengupah kedua-dua mereka. - UTUSAN ONLINE