Yang Dipertuanya, Khairin Nazry Karim berkata, di Padang Besar, laluan pejalan kaki disediakan dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga ke Arked Niaga.

Katanya, pihaknya juga telah menurap kawasan meletak kenderaan dan menaik taraf sistem pembayarannya di kawasan Arked Niaga bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Di Kuala Perlis pula, MPK turut membina laluan pejalan kaki agar keselamatan pelancong terjamin dan redaan trafik selaras dengan konsep bandar selamat yang kita hendak bangunkan.

"Pada tahun ini, kita merancang untuk menambah bilangan tong-tong sampah, kerusi dan membina papan tanda yang baharu selain penguatkuasaan terhadap kenderaan yang diletak di bahu-bahu jalan di kedua-dua kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa menghadiri majlis makan tengah hari MPK bersama media di sebuah hotel di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairin Nazry memberitahu, kadar kutipan cukai taksiran telah berjaya ditingkatkan hasil daripada program cabutan bertuah yang dijalankan oleh MPK bermula Januari lalu.

"Kita lihat program ini berjaya meningkatkan sebanyak 56 peratus kenaikan pendapatan cukai taksiran pada Januari lalu berbanding tempoh sama tahun lalu selain disumbangkan oleh faktor kenaikan cukai taksiran pegangan industri dan komersial bermula 2016.

"Malah kita jangka tahun ini MPK dapat mengutip hasil sebanyak RM14 juta berbanding RM11.3 juta tahun lalu," katanya. - UTUSAN ONLINE