Tambahan pula, teater ini pada zaman dahulu hanya dipertontonkan kepada golongan istana sahaja dan sudah pasti popularitinya agak kurang dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun dengan ada­nya persembahan Jikey Pelanduk Putih oleh Kumpulan Perantisan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) di Auditorium Kompleks JKKN Perlis baru-baru ini, disifatkan sangat wajar kerana membuka peluang dan ruang kepada anak-anak muda termasuk pelajar sekolah untuk lebih me­ngenali, menghayati, mempelajari semula teater tradisional ini.

Perasmian teater Jikey telah dilakukan oleh Bendahari Kehormat Majlis Kebudayaan Negeri Perlis, Datuk Mohd. Zain Hamzah.

Pengarah JKKN Perlis, Rahmat Mohd. Noh berkata, kumpulan perantisan teater Jikey kali ini adalah hasil gabungan JKKN Perlis dan Kedah.

“Kumpulan Setia Jaya disertai 14 anggota muzik yang dilatih oleh satu-satunya pengiat Jikey di Perlis, Saidin @ Mahmud Hashim manakala dari Kedah pula Kumpulan Seri Langkah Puri yang melibatkan 13 pelakon dengan bimbingan Chahor Saad,” katanya di sini.

Rahmat berkata, kumpulan perantisan JKKN Kedah itu melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langgar, SMK Tengku Abdul Malik dan SMK Baling.

Beliau berkata, kesemua yang terlibat menjalani latihan selama enam bulan.

“Tempoh ini agak panjang bagi membolehkan setiap anggota perantisan ini mampu mempersembahkan semula Jikey sebagai golongan pelapis pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Saidin ber­kata, persembahan Jikey bagi kumpulan perantisan ini memerlukan penyatuan yang tinggi.

Beliau berkata, cabaran terpaksa dilalui khususnya pemuzik untuk bijak menyesuaikan de­ngan gerakan dan dialog pelakon.

“Kalau zaman dahulu pemuzik juga turut berlakon sekaligus menjadikan persembahan lebih mantap,” katanya.

Pada pandangan penulis, pe­luang menyaksikan persembahan selama hampir satu setengah jam ini seakan berlalu dengan pantas.

Keseronokan menonton mula dirasakan sebaik sahaja muncul watak lelaki India sebagai watak utama bagi pembukaan tea­ter Jikey dan kemudiannya Raja dan watak dua lelaki bertopeng yang dinamakan Awang dipenuhi de­ngan dialog dan gelagat lucu sehingga menggamatkan suasana.

Kesannya penonton bagai ternanti-nanti munculnya dua Awang ini yang sibuk ke Kuala untuk melihat bunyi bising yang rupanya berpunca daripada lelaki India yang mahu ber­dagang di negeri berkenaan.

Raja pula terpaksa berburu ke hutan bersama dengan Awang untuk mencari pelanduk putih seperti di dalam mimpinya demi untuk mendapatkan zuriat.

Menonton Jikey tidak me­n­jemukan kerana ada selingan lagu dan muzik yang dialunkan mengikut dialog pelakon.

Sememangnya persemba­han Jikey oleh Kumpulan Perantisan JKKN berjaya di­se­garkan semula oleh anak-anak muda yang bersemangat untuk mewarisi teater tradisional Melayu ini supaya tidak luput dek zaman.