Menurut Pengarah Jabatan Peng­airan dan Saliran (JPS) negeri, Ir. Abdul Najib Abdullah, kedua-dua buah bukit itu perlu dikorek secara terbuka berbentuk V agar boleh menjadi laluan air dari terowong tebatan banjir di Tebing Tinggi ke laut.

Kata beliau, pihaknya menjangka sekiranya semua berjalan lancar, masalah tersebut akan dapat diatasi menjelang November ini.

“Pada masa ini, kita sedang mendapatkan bantuan pakar disebabkan struktur kedua-dua buah bukit di Bukit Wai ini mudah pecah. Secara keseluruhan Projek Tebatan Banjir Lencongan Barat ini berjalan lancar cuma kita hadapi sedikit masalah (korek bukit),” katanya ketika ditemui pada majlis sempena sambutan rumah terbuka Aidilfitri JPS ne­geri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Najib mengingatkan pengusaha-pengusaha bengkel di negeri ini supaya tidak membuang sisa minyak enjin ke dalam longkang kerana akan menjejaskan alam sekitar.

Katanya, ini kerana sisa minyak yang dibuang ke dalam longkang akan mengalir ke sungai-sungai dan seterusnya ke laut.

“Kita melihat isu ini sebagai serius kerana pengusaha bengkel di bandar dan kampung masih kurang sedar tentang bahaya membuang minyak enjin ke dalam longkang,” katanya.