Namun di sebaliknya, upacara itu tersimpan rahsia tersendiri yang dipercayai mampu memulih­kan anggota dalaman dan luaran tubuh badan seperti urat dan sendi yang mungkin tercedera semasa menjalani latihan silat.

Dalam dunia persilatan, upa­cara melumur minyak yang ber­suhu sederhana panas ke seluruh tubuh badan itu merupakan upacara wajib sebelum bergelar ahli persilatan.

Begitulah pengalaman dilalui oleh 21 pelatih termasuk lima ahli wanita Persatuan Seni Silat Bunga Negeri Kedah Cawangan Perlis, sebuah pertubuhan persilatan yang begitu dikenali di utara Semenanjung di Kampung Alor Sena di sini baru-baru ini.

Mereka menamatkan latihan setelah enam bulan mempelajari seni silat tersebut.

Berdasarkan pengamatan penulis, upacara itu tidaklah se­perti yang ditakuti kerana bebas daripada perkara-perkara khurafat, kononnya untuk kekebalan.

Sebaliknya di sepanjang upa­cara berkenaan, ia dipenuhi de­ngan bacaan surah-surah suci al-Quran yang memuji kebesaran Allah.

Malah, upacara melumur minyak atau dikenali sebagai 'mandi minyak' pada masa kini tidak lagi dilakukan secara tersembunyi dan lebih terbuka serta boleh disaksikan sesiapa sahaja.

Bahan-bahan digunakan juga bebas daripada unsur tahyul iaitu akar-akar kayu dan rempah-ratus, selain tiada pemakaian tangkal atau bacaan mantera.