Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata, menu oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan isteri, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil adalah sebahagian daripada inisiatif Terbaik Malaysia oleh syarikat penerbangan itu di mana ia memperkenalkan makanan asli dan tradisional Malaysia dalam penerbangan dan di lapangan.


"Kurma Daging Perlis akan dhidang kepada penumpang Kelas Pertama dan Kelas Perniagaan di MH2 dan MH4 dari Kuala Lumpur ke London serta Kelas Perniagaan di MH150 dari Kuala Lumpur ke Jeddah, dan MH112 dan MH196 dari Kuala Lumpur ke Dhaka.


"Penumpang Kelas Perniagaan yang terbang dari Kuala Lumpur ke Sabah, Sarawak dan destinasi ASEAN juga akan menikmati hidangan tersebut," katanya.


Malaysia Airlines berkata, resipi itu adalah kegemaran di Istana Arau, kediaman rasmi keluarga diraja Perlis.


Penumpang Kelas Ekonomi yang terbang di laluan terbabit juga boleh menikmati Kurma Ayam Perlis, yang mempunyai resipi yang sama tetapi dengan ayam dan bukannya daging lembu. Kedua-dua hidangan berkenaa boleh didapati pada tiga hari pertama Aidilfitri.


"Menjelang cuti hari raya, Malaysia Airlines ingin menasihati penumpang untuk tiba lebih awal di KLIA.


"Mereka yang membuat perjalanan pada hari raya ini digalakkan tiba tiga jam lebih awal sebelum waktu berlepas bagi mengelak kesesakan.


"Penumpang juga boleh mendaftar masuk 48 jam sebelum penerbangan mereka melalui daftar masuk web di www.malaysiaairlines.com atau MHmobile," tambahnya.- BERNAMA