Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan bercemar duli menyertai acara kayuhan sejauh 12 kilometer itu yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid An-Nur universiti tersebut.

Keberangkatan baginda disambut oleh Rektor UiTM cawangan negeri, Zailuddin Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor serta para pegawai kanan UiTM Perlis dan MAIPs.

Turut serta Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Panglima Briged Ke-30 Infantri, Brig. Jen. Hashim Aman Shah dan Ketua Polis negeri, Datuk Azisman Alias.

Apa yang menarik, program itu turut diisi dengan acara menanam pokok mempelam harumanis yang bernombor siri 50 ketika singgah di salah sebuah plot ladang kampus UiTM tersebut sempena sambutan hari ulang tahun keputeraan baginda yang ke-50, pada 30 Disember lalu.

Plot yang akan dikenali sebagai Plot Pelbagai Varieti Mangga itu akan ditanam dengan pelbagai jenis mempelam oleh pihak UiTM cawangan negeri bagi mempromosikan pelancongan pendidikan.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah supaya golongan belia mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang mencukupi kerana golongan tersebut merupakan pewaris kelangsungan kegemilangan negara.

“Seorang ahli falsafah pernah berkata, ‘akar bagi pelajaran memang pahit, tetapi buahnya manis’. Sesungguhnya tiada jalan mudah mencapai kejayaan.

“Setiap satunya disertai ranjau, onak dan duri. Namun, itulah azimat yang membangkitkan kekuatan seseorang untuk menempa kejayaan di dalam pelajaran,” titah baginda.

Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan mengurniakan Plaka Tujuh Amanat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kepada Zailuddin untuk dihayati dan dipraktikkan oleh seluruh warga UiTM tersebut khususnya siswa dan siswi.

Amanat yang telah dizahirkan sempena Multaqa Tuanku Syed Sirajuddin antara lain menyentuh mengenai keperluan untuk menyediakan generasi muda-mudi yang memahami agama Islam selaras dengan al-Quran dan sunnah.

Turut disampaikan ialah sumbangan MAIPs bernilai RM6,000 untuk Tabung Kebajikan Pelajar UiTM Cawangan negeri.

Diakhir program, para peserta kayuhan turut meraikan hari lahir Rektor UiTM Perlis dan Mufti Perlis yang kedua-duanya jatuh pada hari yang sama iaitu semalam. - UTUSAN ONLINE