Majlis simbolik penyerahan mok kenderaan itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Imam Masjid Al-Aqsa yang juga bekas Mufti Palestin, Sheikh Dr. Ekremah Sai’d Sabri di Masjid Almarhum Tuanku Syed Putra di sini, malam tadi.

Majlis tersebut diadakan bersempena dengan program Pidato Prihatin Al-Quds anjuran MAIPs dengan kerjasama Aman Palestin.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyerahkan replika sumbangan kutipan terkini daripada rakyat negeri ini melalui MAIPs kepada Tabung Untuk Aqsa Negeri Perlis yang berjumlah RM102,579.80.

Kutipan tersebut untuk tempoh selama empat hari sejak kempen pada kali ini dilancarkan dan akan terus dikutip sehingga 16 Februari ini.

Sumbangan itu akan diserahkan kepada Kementerian Wakaf Jordan melalui pejabat Kedutaan Besar Jordan di Kuala Lumpur pada penghujung Mac ini.

Terdahulu, diadakan pidato khas yang disampaikan oleh Ekremah.

Beliau juga mengimamkan solat isyak berjamaah yang turut disertai oleh Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen bersama kira-kira 1,000 yang hadir ke program tersebut. - UTUSAN ONLINE