Program Bangun Jiwa PT3 yang juga mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan negeri ini akan diadakan secara serentak di tiga zon.

Antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan terlibat ialah Jabatan Kesihatan negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Pusat Koreksional negeri, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Institut Sunnah dan Irsyad serta Mubaligh Jabatan Mufti negeri dan Pusat Dakwah One Centre.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs telah berkenan merasmikan program ini di Jabatan Kesihatan negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatakuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Khairi Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail.

Baginda bertitah, program ini dilaksanakan bagi memastikan ilmu pengetahuan, maklumat serta panduan berguna dapat diberikan secara menyeluruh dan dimanfaatkan oleh pelajar PT3 sekali gus mengisi masa terluang dan mengawal masalah disiplin pelajar berkenaan selepas PT3 berakhir.

“Antara pengisian program ini termasuk kehidupan berkeluarga, pengurusan diri, kesihatan, hidup bermasyarakat, integriti, pengurusan jenazah, agama dan budaya di negara ini, bahaya gejala dadah, ketum dan pelakuan jenayah serta kesan hukuman penjara akibat melakukan kesalahan jenayah,” titah baginda.

Dalam titah itu baginda amat berharap semua yang terlibat dalam program ini dapat memberikan ilmu dan maklumat yang terbaik supaya pelajar ini menjadi insan berguna pada masa akan datang. - UTUSAN ONLINE