Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, sehubungan itu, mahasiswa yang dikaitkan dengan laman sosial perlu mengelak diri daripada dipengaruhi oleh emosi dan pembohongan dicipta oleh pihak yang berkepentingan.


Maka sebab itu, beliau menyokong inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meminda dan menambah baik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi tujuan menangani berita palsu.


“Ini kerana pada masa ini, kita tidak lagi boleh mengawal penyebaran berita tidak benar yang jelas kini telah menimbulkan suasana tidak sihat, perpecahan dan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Santai Mesra Mahasiswa bertajuk ‘Mahasiswa Pemimpin Masa Hadapan’ yang dihadiri oleh seramai kira-kira 300 orang di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.


Dalam majlis yang berlangsung secara santai selama lima jam membabitkan para mahasiswa dari universiti-universiti utara tanah air, khususnya di negeri ini itu, Azlan berkesempatan menerangkan isu-isu semasa dalam negara dan berkongsi agenda pembangunan kerajaan negeri.


Azlan seterusnya mengajak seluruh mahasiswa supaya berpemikiran kritikal dalam isu-isu semasa tetapi pada masa sama juga konstruktif supaya masa depan negara yang aman dan sejahtera, terus dikekal dan tidak digadaikan.


“Tiada masalah untuk kritikal tetapi jangan sesekali benarkan kepintaran kita dihina oleh pembohongan pihak tertentu,” katanya.


Pada masa sama, beliau turut mengajak mahasiswa menceburi bidang keusahawanan, bermula secara kecil-kecilan termasuk dengan meneroka pasaran di luar negara dan tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan semata-mata. - UTUSAN ONLINE