Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Ne­geri, Ahmad Bakri Datuk Ali berkata, sehingga kini di Perlis sudah ada empat pengusaha madu kelulut yang dijangka mampu untuk memenuhi permintaan terhadap makanan tambahan ini.

“Promosi secara besar-besaran ini membantu menyedarkan rak­yat akan khasiatnya jika mengamalkan makan madu kelulut sebagai makanan tambahan untuk seisi keluarga,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyambut Duta Madu Kelulut, Sabri Ali, 54 dalam program Kelulut Walk 2016 Peringkat Negeri Perlis di sempadan Kedah/Perlis, di Sanglang dekat sini, hari ini.

Juruteknik sebuah syarikart swasta ini telah berjalan kaki dari Menara Alor Setar sejak pukul 7.30 pagi telah melalui Jalan Alor Setar-Kangar sebelum disambut di sempadan Kedah/Perlis untuk meneruskan lagi Kelulut Walk bersama kakitangan di bawah agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang berakhir di pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) B1 Kayang di sini.

Sabri memulakan program Kelulut Walk ini sejak 8 Oktober lalu di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor dan dijangka berakhir di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MaEPS)pada 4 Di­sember ini dengan perjalanan sejauh 2,000 kilometer (km) dalam tempoh 50 hari.

Program ini juga akan direkodkan dalam Malaysia Book Of Record yang dianjurkan sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016.

Esok Ahmad Bakri akan mela­kukan pelepasan Kelulut Walk peringkat negeri di Dataran Water Front di sini pada pukul 7.30 pagi.

Sementara itu, Sabri berkata, dia berbangga kerana dapat mempromosikan madu kelulut supaya dapat diamalkan oleh rakyat Malaysia.

“Sejak mengamalkan madu kelulut dua tahun lalu ternyata ia amat berkesan khususnya dalam memberikan tenaga dan badan yang lebih sihat,” katanya.

Beliau berharap, rakyat akan memberikan sokongan terhadap madu kelulut supaya ia menjadi identiti sebagai makanan tam­bahan yang terhebat dari Malaysia.