Naib Presidennya, Datuk Zahar Hashim berkata, amalan tersebut mengakibatkan banyak kerugian dalam urus tadbir korporat sehingga menyebabkan matlamat untuk membantu Bumiputera dalam perniagaan gagal dicapai.

Beliau yang juga Pengerusi DPIM Perak menambah, lebih malang usahawan-usahawan daripada golongan itu terpaksa bersaing dengan GLC yang mempunyai modal lebih besar.

"DPIM sehubungan itu mencadangkan supaya kerajaan baharu melihat semula struktur pentadbiran GLC dan perbadanan di negeri-negeri. Letakkan mereka yang profesional dan berpengetahuan dalam perniagaan untuk memegang GLC," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, fakir miskin dan mualaf serta penyampaian sumbangan di sini semalam.

Dalam pada itu, kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan juga diminta menjadikan Thailand sebagai model bagi membantu memaju dan meningkatkan perniagaan khususnya usahawan Bumiputera di negara ini.

Pengerusi DPIM Cawangan Perlis, Fakhruddin Ar Razi Abdullah berkata, negara jiran itu telah terbukti berjaya menerusi banyak aspek dalam memberi sokongan terhadap industri tempatan seperti satu daerah satu produk (OTOP) yang terkenal di seluruh dunia.

Kata beliau, sebagai contoh, mana-mana produk tempatan yang mencapai tahap lima bintang, diberi galakan untuk menembusi pasaran luar negara dengan pemberian diskaun 30 peratus syarikat penerbangan, Thai Airways.

"Kerajaan Thailand juga memberi kemudahan pembungkusan dan mengurangkan pelbagai birokrasi. Maka sebab itu, kita melihat produk tempatan mereka iaitu OTOP berada di mana-mana negara di dunia," ujarnya.

Beliau seterusnya turut meminta supaya kerajaan Pakatan Harapan mengkaji dan mengatasi punca produk Malaysia sukar menembusi pasaran luar, sebagai contoh Thailand, sedangkan produk negara jiran itu mudah memasuki negara ini.

".... Terutamanya usahawan di Perlis. Kita mempunyai sijil Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti) tetapi masih sukar memasuki pasaran ASEAN," katanya. - UTUSAN ONLINE