Sekalipun kebanyakannya menyertai pertandingan ini untuk suka-suka tetapi banyak manfaatnya jika dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Bukan sahaja dapat mengasah bakat dalam lukisan malah boleh memenangi hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur

Sehubungan itu, Kolej Komuniti Arau (KKA) di Jalan Tunku Budriah, Tambun Tulang dekat sini menganjurkan kursus teknik mewarna untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari selama dua hari yang berakhir esok.

Program itu yang diadakan sempena cuti persekolahan hanya dikenakan yuran sebanyak RM20.

Tenaga pengajarnya, Rosmi­ney Ahmad, 40, memberitahu dari pengalamannya sebagai juri per­tandingan mewarna, kebanyakan kanak-kanak Melayu boleh dikatakan masih lemah dalam teknik mewarna berbanding kaum lain.

“Atas sebab itu hari ini peserta didedahkan dengan teknik asas yang penting iaitu ‘tona’ yang menggunakan pensil warna,” katanya.

Beliau berkata, tona ini pen­ting supaya kerja-kerja mewarna ini akan nampak lebih hidup dan bukannya sama rata sahaja.

Katanya, sekali pun hanya tiga jam kelas ini berlangsung tetapi hasilnya amat memuaskan.

“Ada ibu bapa yang datang me­lahirkan rasa terkejut dan bagai tidak percaya bahawa lukisan yang diwarnakan itu dihasilkan oleh anak mereka,” katanya.

Beliau berkata, lebih membanggakan lagi apabila sudah ada pertanyaan daripada ibu bapa untuk memberikan peluang anak mereka menyambung teknik yang seterusnya.

Rosminey berkata, beliau ti­dak menyangka kali ini sambutannya hebat sehingga dibahagi kepada dua hari iaitu hari ini (23 Mac) melibatkan 21 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dan esok (24 Mac) pula 20 lagi kanak-kanak.

Nur Batrisya Balqis Nor Halily, 10, memberitahu dia berpuas hati kerana baru pertama kali berpeluang mempelajari teknik tona dalam mewarna menggunakan pensil warna.

“Teknik ini memang tidak diajar di sekolah dan ia sebenarnya amat berguna untuk saya yang gemar menyertai pelbagai pertandingan mewarna,” katanya yang datang bersama dengan adik, Mohammad Hariz Iskandar, 6.

Pelajar Sekolah Kebangsa­an (SK) Seri Indera, Kangar ini memberitahu, ayahnya yang memberi galakan untuk dia dan adik menyer­tai kursus ini bagi menambahkan ilmu dalam teknik mewarna.

Norhasyila Minhat, 37, dari Kodiang sanggup membawa anak sulungnya, Nor Alisha Qaisara Mohd. Sharil mengikuti kursus teknik mewarna.

“Anak saya ini dia agak lemah dalam mewarna dan diharap kelas ini akan membantunya untuk lebih pandai,” katanya.

Beliau tidak menjangka anak­nya ingin mengikuti kursus ini kerana datang seorang berban­ding yang lain datang dengan adik beradik atau rakan-rakan.