Di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Indera di sini, slip UPSR diserahkan kepada murid yang dipanggil naik ke atas pentas, mengikut kelas masing-masing tanpa diumumkan keputusannya.

Berbeza sebelum ini, murid dibahagikan mengikut keputusan yang mereka peroleh sebelum diraikan seterusnya menyebabkan ada murid kurang bernasib baik pulang dalam keadaan sedih.

Dalam majlis ringkas itu, mereka mendapat keputusan kurang cemerlang berpeluang meluangkan masa bersama rakan-rakan dan bergambar beramai-ramai.

Bagi murid, Zulaikha Batrisyia Zainuddin, dia tidak merasa tersisih walaupun memperoleh keputusan UPSR kurang cemerlang.

“Saya agak sedih kerana tidak menjangkakan mendapat keputusan sebegini (kurang cemerlang) tetapi tidaklah terlalu tertekan kerana kami tidak diasingkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sekolah itu.

Seorang lagi murid, Adlishah Iskandar Sharilfuddin mengakui walaupun sedih gagal mendapat keputusan yang diharapkan tetapi dia tidak terlalu merasa tertekan.

“Saya sedih tetapi berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh pada masa depan kerana yakin boleh berjaya,” katanya.

Adlishah Iskandar yang aktif dalam sukan berkata, dia mewakili negeri dalam acara ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), olahraga peringkat sekolah dan terpilih sebagai Olahragawan Kejohanan Balapan dan Padang peringkat sekolah.

Dia seterusnya berharap dengan sijil-sijil kegiatan sukan berkenaan dan kokurikulum, boleh dipertimbangkan memasuki sekolah berasrama penuh.