Sikap toleransi dalam masyarakat majmuk di Malaysia menjadikan negara ini dihormati seantero dunia.

Suasana itu diharap kekal selama-lamanya dengan teras keharmonian di negara ini adalah apabila semua kaum dapat menyemai semangat perpaduan dengan sebaik-baiknya.

Menyedari realiti itu, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau di sini buat julung-julung kalinya mengadakan kempen Kesatuan Dalam Kepelbagaian di salah sebuah pasar raya di Kangar pada Selasa lalu.

Kempen hasil inisiatif 39 pelajar berbilang kaum dari maktab tersebut berjaya memberi impak baik ke arah memupuk semangat perpaduan kaum.

Lebih tepat adalah ia perlu bermula sejak peringkat akar umbi lagi.

Timbalan Presiden Badan Perwakilan Pelajar MRSM Arau, Nur Izzati Sharizal berkata, pelbagai aktiviti menarik sempena kempen tersebut seperti permainan tradisional pelbagai kaum, program bual bicara dan pameran makanan pelbagai kaum telah diadakan.

Katanya, jumlah kehadiran pengunjung juga cukup memberangsangkan terdiri daripada masyarakat berbilang kaum bermula di peringkat kanak-kanak, remaja dan pelbagai lapisan umur.

“Objektif penganjuran kempen kesedaran ini adalah untuk memberi penekanan mengenai kepentingan rakyat menghargai kepelbagaian kaum di negara ini selain mendidik masyarakat mengenai kewujudan pelbagai budaya di Malaysia.

“Ramai pengunjung menyatakan bahawa maklumat yang mereka sedia maklum sudah mencukupi tetapi hakikatnya masih banyak informasi yang belum diterokai mengenai kepelbagaian kaum ini,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Nur Izzati berkata, pihaknya bercadang menjadikan kempen tersebut sebagai acara tahunan MRSM Arau.

Malah, katanya, kempen tersebut berkemungkinan diperluas dengan kerjasama sekolah lain sekitar Kangar pada tahun depan.

“Untuk penganjuran tahun depan, kami bercadang melibatkan sekolah lain di sekitar Kangar dengan penganjurannya berskala besar seperti ekspo.

“Kami juga berhasrat menjalinkan kerjasama dengan One Centre Malaysia Cawangan Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs) untuk memastikan mesej kami dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya.